PENGENALAN TEORI KONFLIK
Teori
konflik telah diperkenalkan oleh seorang ahli sains sosial dan juga ahli
ekonomi yang berasal dari Jerman iaitu Karl Marx dan kemudiannya telah diikuti
oleh Weber. Antara karya yang telah
dihasilkan dalam memperkatakan mengenai teori konflik ini ialah “ The Communist
Manifesto”. Pandangan teori konflik ini
ialah mengutamakan kaedah determinisme di mana terdapat kuasa yang meramalkan
sesuatu. Konflik yang dimaksudkan
bukanlah seperti sesuatu yang ganas tetapi ia berlaku di dalam bentuk
perjuangan parti-parti, persaingan dalam institusi agama dan sebagainya. Konflik juga adalah sesuatu yang berlaku
dalam keadaan semulajadi di dalam sesebuah masyarakat. Sesuatu konflik yang berlaku dipercayai boleh mempercepatkan proses kesetiaan dan
keharmonian di dalam sesuatu kelompok sosial.
Terdapat tiga andaian penting
mengenai teori konflik ini iaitu konsep dialetik, determinisme dan aktivisme
sosial. Konsep dialetik bermaksud
evolusi bukanlah merupakan proses utama kepada perubahan sosial, tetapi sebab
utama terjadinya perubahan sosial adalah disebabkan konflik. Manakala determinisme ekonomi pula bermaksud
asas kepada terjadinya perubahan sosial
adalah ditentukan oleh persaingan-persaingan ekonomi yang wujud di dalam
sesebuah masyarakat. Aktivisme sosial
pula bermaksud tugas utama analisis sosial ialah kritikan.
Organisasi pula adalah satu struktur
susunan manusia yang bekerjasama dalam mencapai sesuatu tujuan bersama. Menurut James D.Mooney, organisasi adalah
bentuk setiap perseikatan manusia untuk mencapai tujuan bersama. Di dalam sesebuah organisasi, setiap individu
di dalamnya akan berinteraksi dengan semua struktur yang berkait rapat
dengannya bagi mencapai tujuan bersama.
KONFLIK DI DALAM ORGANISASI
Interaksi
dalam sesebuah organisasi sememangnya sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Dalam banyak keadaan ahli-ahli di dalam
organisasi akan bertemu atau berinteraksi baik secara individu ataupun secara
berkumpulan dalam pertemuan-pertemuan formal seperti mesyuarat, seminar, dan
bengkel atau dalam keadaan yang informal seperti parti serta pertemuan sosial
yang lain. Namun ada kalanya interaksi
ini tidak berjalan dengan lancar atau tidak berjalan menurut jangkaan. Hal ini wujud kerana terdapat pertentangan
antara dua atau lebih ahli di dalam organisasi ataupun pertentangan antara aua
atau lebih kumpulan atau unit di dalam organisasi tersebut. Keadaan seperti inilah yang menjadikan
konflik dalam organisasi tersebut yang kemudian akan dikaitkan dengan teori
konflik Karl Marx.
Menurut Hall (1996), terdapat tiga
jenis konflik di dalam sesebuah organisasi.
Konflik fungsional lazim berlaku dalam sesebuah organisasi yang
mengandungi pelbagai unit untuk menjalankan fungsi yang berbeza-beza dan juga
di sebabkan persamaan fungsi dalam sesebuah unit atau jabatan. Jenis konflik seterusnya ialah dikenali
sebagai konflik hierarki yakni konflik pergelutan antara individu untuk
mendapatkan sumber-sumber yang terhad seperti ganjaran, status, prestij, atau
wang. Secara umum, konflik antara
kumpulan timbul adalah disebabkan tiga elemen penting iaitu identifikasi
kumpulan, perbezaan yang jelas antara kumpulan-kumpulan dan juga perasaan tidak
puas hati terhadap sesuatu. Konflik antara kumpulan dalam organisasi juga boleh
dibahagikan kepada dua iaitu konflik mendatar dan konflik menegak dan sama
sekali berkait rapat dengan teori konflik yang diperkenalkan oleh Marx.
KAEDAH DIALEKTIK
Kaedah
ini merupakan kaedah yang dianggap oleh Marx dan Engels sebagai pencapaian
terbaik falsafah Jerman Klasik. Mereka
berpendapat bahawa mana-mana formulasi prinsip mengenai kemajuan, mengenai
revolusi, adalah berat sebelah dalam isu kandungan,dan hanya dapat memesongkan
dan mencederakan aliran kemajuan sebenar.
Menurut Marx manusia sememangnya mementingkan kebendaan atau nilai-nilai
material dan merasakan tidak puas hati dengan apa yang sentiasa wujud dalam
setiap ketidakpuasan hati mereka sehingga sanggup berjuang untuk memenuhi
keperluan tersebut. Berbeza dengan kaedah-kaedah
lain, kaedah ini lebih melihat hubungan antara fenomina sosial dalam bentuk
satu hala sahaja seperti dalam huraian sebab musabab. Sebagai contoh ialah borjouis (pemodal)
menindas golongan proletar (pekerja) yang akhirnya akan menyebabkan golongan
proletar akan turut menindas golongan borjuis yang membalas balik tindakan
borjuis keatas mereka.
Hal ini seringkali berlaku di dalam
kalangan masyarakat kita terutamanya di dalam sesebuah organisasi ataupun
sesebuah syarikat yang mana golongan atasan atau majikan akan menindas golongan
pekerja dengan memberi tugasan yang berat kepada pekerja demi kepentingan dirinya
yang akhirnya akan menyebabkan rasa tidak puas hati kalangan pekerja dan
akhirnya golongan pekerja tersebut bangkit untuk menuntut hak mereka terhadap
penindasan yang dibuat oleh majikan mereka atau lebih teruk lagi apabila
berlakunya penghapusan terhadap golongan majikan yang sering menindas mereka dengan
menghalau dari sesebuah organisasi ataupun syarikat. Idea dialektik juga tidak memisahkan satu
fenomena sosial dengan fenomena lain.
Melalui kaedah dialektik ini boleh
dikaitkan berlakunya konflik menegak didalam sesebuah organisasi. Konflik menegak berlaku apabila pelbagai
bahagian dalam peringkat hierarki organisasi yang berbeza-beza tidak mendapat
kesefahaman. Lazimnya konflik menegak
timbul disebabkan isu seperti kawalan, kuasa, matlamat, gaji, dan
ganjaran. Konflik menegak boleh berlaku
antara pelbagai kumpulan yang berbeza pada semua tahap hierarki dalam
organisasi.
Konflik menegak berlaku dalam
pelbagai bentuk, misalnya pekerja berkonflik dengan ketua, ketua pengeluaran
berkonflik dengan eksekutif yang lebih kanan di ibu pejabat atau konflik antara
eksekutif di bahagian pengeluaran dengan pekerja bawahan. Namun, konflik menegak yang dianggap penting
dan boleh mewujudkan pelbagai masalah ialah konflik antara pihak pengurusan dan
kumpulan pekerja yang lazimnya diwakili oleh kesatuan sekerja. Konflik jenis ini biasanya berlaku dalam
organisasi atau kilang yang besar seperti syarikat besi keluli atau bidang yang
terlalu mengkhusus seperti sukan atau kawalan trafik udara.
Status dan juga perbezaan kuasa
antara kumpulan di dalam organisasi merupakan elemen penting dalam konflik
menegak berbanding konflik mendatar di dalam sesebuah organisasi. Justeru, antara sebab berlakunya konflik
menegak ialah usaha untuk menyamaratakan atau mengurangkan jurang perbezaan
kuasa antara kumpulan. Kesatuan sekerja
biasanya cuba untuk meningkatkan kuasa pekerja dengan cara meminta gaji yang
tinggi atau meminta pihak pengurusan memperbaiki keadaan kerja. Strategi untuk menyelesaikan konflik antara
pekerja dan juga pihak pengurusan diformulasikan berdasarkan undang-undang dan
peraturan. Ringkasnya, penyelesaian
konflik adalah berdasarkan tatacara perundingan formal yakni wakil daripada
kedua-dua belah pihak akan dilantik untuk menyelesaikan perbezaan tersebut.
KONSEP ALIENATION
Alienation
ialah keadaan dimana manusia dikuasai oleh satu kuasa yang diciptanya sendiri
dan sangat kuat menguasai manusia.
Sebagai contoh, Marx telah memberi satu gambaran jelas tentang
contoh-contoh alienation ini melalui penguasaan wang. Manusia telah mencipta wang dan akhirnya
manusia telah dikuasai oleh ciptaanya sendiri iaitu wang yang menjadi simbol
kekayaan manusia. Kekayaan dan kekuasaan
seseorang itu diukur dengan wang yang dimilikinya. Dengan hanya memiliki wang yang banyak mereka
akan terus berkuasa dan menguasai, inilah yang dikatakan kuasa wang (the power
of money) yang boleh membeli apa sahaja dan boleh mengubah segalanya.
Selain
itu disebabkan terlalu ingin mengejar kekayaan, manusia menjadi semakin sibuk
dalam melakukan pekerjaan masing-masing sehingga mereka tidak menghiraukan
orang disekeliling mereka dan ada yang tidak mengenali rakan yang bekerja
bersama-sama mereka. Mereka bekerja
tanpa menghiraukan kemampuan dan kebolehan yang mereka miliki semata-mata
kerana mahu mengejar kekayaan. Mereka diibaratkan sebagai “robot” atau
seperti “lembu dicucuk hidung”. Menurut
Marx, alienation ini boleh diperluaskan sehingga ke peringkat pengeluaran,
dimana manusia dikatakan terasing dengan perkara berikut iaitu mereka bekerja
untuk mendapatkan upah sahaja dan mereka terasing dalam pekerjaan mereka
sendiri. Selain itu mereka juga terasing
dengan hasil keluaran mereka akibat dari pengkhususan pekerjaan.
Melalui
konsep alienation ini juga dapat dikaitkan dengan konflik mendatar yang berlaku
di dalam sesebuah organisasi. Konflik
mendatar berlaku jika ahli daripada jabatan atau kumpulan yang berada dalam
hierarki organisasi yang sama berkonflik, contohnya bahagian jualan dan
bahagian penyelidikan serta pembangunan tidak mencapai persetujuan mengenai
reka bentuk produk baru. Antara
elemen-elemen dalam konteks organisasi yang boleh menyebabkan konflik mendatar
antara jabatan ialah faktor persekitaran, saiz, teknologi, matlamat, dan juga
struktur.
Peningkatan ketidaktentuan dan
kompleksiti persekitaran menyebabkan wujudnya perbezaan kemahiran, sikap, kuasa
serta matlamat demi menyesuaikan diri. Peningkatan
saiz dalam organisasi menyebabkan pelbagai subbahagian diwujudkan di dalam
organisasi tersebut. Selaras dengan
pengembangan saiz, pelbagai peraturan pula akan dikuatkuasakan untuk mengawal
dan menyelaraskan gelagat ahli-ahlinya.
Hal ini akan turut menjejaskan interaksi dan hubungan antara
bahagian-bahagian dalam hierarki tersebut kerana bentuk hubungan antara mereka
semakin tidak jelas. Hal ini dapat
dilihat di dalam konsep alienation yang diperkatakan oleh Marx apabila
pekerja-pekerja dipisahkan oleh sesuatu sehingga mereka tidak dapat
berinteraksi dengan pekerja-pekerja yang lain disekeliling mereka. Kompleksiti hierarki juga meningkatkan
perbezaan kuasa dan sumber antara jabatan yang boleh menyumbang kepada
terbentunya konflik
Teknologi pula lazimnya membahagikan
pembahagian tugas antara jabatan dan juga saling bergantung antara
bahagian-bahagian tertentu. Justeru,
kumpulan yang mempunyai tugas yang saling bergantung akan selalu berinteraksi
dan juga berkongsi sumber. Keadaan
sebegini boleh menimbulkan konflik antara mereka.
Matlamat organisasi pula lazimnya
akan dipermudahkan kepada matlamat operatif yang boleh memandu setiap bahagian
dalam organisasi. Matlamat operatif yang
ingin dicapai oleh pelbagai bahagian seperti bahagian pemasaran, perakaunan,
undang-undang dan bahagian sumber manusia biasanya bersifat eksklusif. Justeru, pencapaian matlamat dalam sesebuah
jabatan mungkin akan menghalang pencapaian matlamat operatif dalam bahagian
lain, dan ini boleh mencetuskan konflik.
Dalam konteks ini, struktur organisasi yang berkesan adalah perlu untuk
membolehkan pembahagian tugas dan pembahagian sumber-sumber yang seimbang untuk
memudahkan kawalan dan penyelarasan dalam organisasi.
TEORI KELAS
Teori
konflik aliran Marx juga beranggapan asas kepada pembentukan sesebuah
masyarakat adalah disebabkan oleh faktor-faktor ekonomi seperti tanah, modal, industri
dan perdadangan. . Asas kepada perubahan sesebuah struktur
masyarakat adalah di sebabkan faktor-faktor berkaitan dengan pengeluaran
ekonomi. Faktor lain seperti agama,
institusi politik, kekeluargaan dan pendidikan pula menjadi superstruktur
masyarakat. Sebarang perubahan yang
berlaku pada superstruktur masyarakat hanya akan berlaku jika terdapat
perubahan pada asasnya.
Marx
menjelaskan bahawa ekonomi yang menjadi pendorong kepada perkembangan modal
yang akan membawa kepada perubahan hidup masyarakat terutama dalam meningkatkan
taraf hidup dan mengeluarkan mereka dari kesempitan hidup. Namun perkembangan modal yang pesat akan
menyebabkan berlakunya penindasan terhadap sesuatu golongan yang mempunyai
taraf hidup yang rendah dan yang mengalami perkembangan modal yang tidak
konsisten. Marx telah membahagikan
masyarakat kepada dua bahagian utama iaitu golongan borjuis iaitu yang
menguasai modal dan golongan proletar iaitu golongan pekerja bawahan yang
sering ditindas atau dikuasai oleh golongan borjuis semata-mata untuk
menambahkan modal mereka. Setelah berlakunya
penindasan terhadap golongan proletar atau golongan pekerja maka akan timbullah
satu perasaan atau kesedaran yang dikenali sebagai “kesedaran kelas” yang lahir
dari satu perasaan yang dikenali sebagai “perasaan kelas”. Hal ini akan menyebabkan berlakunya satu
bentuk tentangan yang bersifat penghapusan terhadap golongan berkelas (class
society) dan menggantikannya dengan satu golongan baru yang tidak berkelas
(classes society).
Masyarakat
tanpa kelas (masyarakat sosialis) wujud atas asas sistem pemerintahan pekerja,
oleh pekerja dan untuk pekerja. Menurut
Marx, satu bentuk pengawasan diperlukan untuk mewujudkan kestabilan dalam
masyarakat yang mana telah mencapai satu bentuk masyarakat yang baik dan tidak
berlaku sebarang penindasan dimana semua pihak mendapat kelebihan dan faedah
bersama.
Melalui
konsep ini, tidak banyak yang boleh dikaitkan dengan konflik dalam sesebuah
organisasi. Konflik yang berlaku
antara pemilik sesebuah syarikat ataupun
pemodal syarikat dengan pekerja-pekerja yang mengorganisasi syarikat tersebut
mungkin boleh dikaitkan. Pemodal yang
memberi tekanan kepada setiap bahagian di dalam organisasi syarikatnya akan
menimbulkan satu konflik yang besar antara pekerja dengan pemodal
tersebut. Keghairahan untuk meningkatkan
lagi kekayaan akan mendorong pemodal atau pemilik syarikat untuk memberi
tekanan kepada pekerjanya untuk sentiasa bekerja keras untuk meningkatkan hasil
keluaran sesebuah syarikatnya itu.
Pemodal mungkin akan memberi tekanan konflik yang lebih berganda jika
terdapat pekerjanya yang cuba membantah atau melawan arahannya dengan membuang
mereka daripada bekerja. Hal ini kerana
tenaga kerja mungkin senang diperoleh kerana permintaan pekerjaan semakin
tinggi. Keadaan ini sama sekali akan
menimbulkan satu suasana konflik yang besar antara pekerja dengan pemodal jika
ianya berterusan berlaku.
Pekerja-pekerja daripada pelbagai tahap hierarki organisasi yang
ditindas itu mungkin akan bergabung dan
membentuk satu satuan yang kuat untuk menuntut hak mereka sebagai pekerja
dengan mengadakan bantahan besar-besaran terhadap pemodal tersebut.
Dalam keadaan ini akan berlakulah pembentukan
undang-undang baru yang akan melindungi mereka daripada terus ditindas oleh
pemodal tersebut. Keadaan akan mejadi
lebih teruk jika golongan pekerja-pekerja tersebut bersatu untuk menjatuhkan
pemodal tersebut dengan mengheret pemodal tersebut ke muka pengadilan dan
menuntut untuk mewujudkan undang-undang baru dimana pemodal mempunyai kuasa
yang sama dengan pekerja. Seterusnya
akan wujudlah masyarakat tanpa kelas dimana pemodal atau pemilik syarikat
terpaksa akur dengan sistem yang diwujudkan oleh pekerja-pekerja itu dimana
semua pihak akan mendapat kelebihan bersama tanpa penindasan.
KESIMPULAN
Konflik
di dalam organisasi adalah satu fenomena sosial yang sememangnya sukar dielakkan. Ahli-ahli di dalam sesebuah organisasi tidak
dapat mengelak daripada bertemu dan berinteraksi sama ada di dalam keadaan
formal ataupun tidak formal. Antara
perkara-perkara yang boleh menimbulkan konflik ialah tugas ahli kumpulan dalam
organisasi mempunyai kemahiran, nilai, keperluan dan kreativiti yang
berbeza-beza di antara seseorang individu dengan individu yang lain.
Teori yang diperkenalkan oleh Karl
Marx berkait rapat dengan konflik yang wujud di dalam sesebuah organisasi. Melalui konsep dialektik, alienation. Dan
konsep kelas kita akan dapat lihat kaitannya dengan konflik-konflik yang
seringkali timbul di dalam sesebuah organisasi itu. Justeru, konflik tidak seharusnya dilihat
dari sudut negatif tetapi juga harus dilihat dari sudut positif kerana konflik
antara kumpulan atau individu dalam sesebuah organisasi boleh mendatangkan
banyak manfaat kepada organisasi jika konflik ini dikendalikan secara bijak.
Organisasi yang ada pada era globalisasi
kini semakin terdedah kepada konflik berdasarkan keadaan pasaran yang semakin
kompetitif. Apatah lagi dengan
perkembangan pesat syarikat-syarikat multinasional di kebanyakkan negara yang
menyebabkan wujudnya perbezaan budaya, latar belakang, bahasa, personality,
nilai dan tanggapan yang semakin kompleks.
Semua elemen tersebut berpotensi untuk menyumbang kepada konfik di dalam
organisasi.