Wednesday, 26 December 2012

Punca-punca dan kesan-kesan gejala rasuah.


Sejarah rasuah bermula sejak awal kehidupan manusia bermasyarakat lagi, iaitu pada tahap organisasi kemasyarakatan yang rumit mulai wujud.  Gejala rasuah telah membelenggu manusia sejak beribu tahun lamanya.  Kegiatan rasuah yang berlaku adalah berbeza-beza pada waktu dan tempat yang berlainan. Terdapat banyak catatan kuno yang menceritakan tentang gejala rasuah yang telah berlaku dimasa lalu contohnya mengenai masalah penyuapan terhadap para hakim dan tingkah laku para pegawai pemerintah.  Kegiatan rasuah ini terus menular dan berlaku sehingga kini dan telah meninggalkan pelbagai kesan yang negatif kepada sesebuah negara.  Misalnya Empayar Rom, Empayar Uthmaniah, Dinasti Ming dan sebagainya yang tidak terurus pentadbirannya sehingga menyebabkan tentera dan kakitangan awamnya terpaksa mengamalkan rasuah sehingga akhirnya meruntuhkan  pemerintahan negara tersebut.
            Mengikut sejarah, kegiatan rasuah di negara ini berlaku sejak zaman kesultanan Melaka lagi.  Kejatuhan kesultanan Melaka di tangan orang-orang Portugis dikatakan ekoran dari sogokan wang dan hadiah oleh tentera-tentera Portugis kepada pegawai-pegawai tertentu yang bertugas di Istana Sultan Melaka.  Kegiatan rasuah ini terus wujud sehingga pemerintahan orang-orang British di Tanah Melayu dan dibuktikan bilamana pentadbiran British ketika itu telah menguatkuasakan undang-undang rasuah dalam tahun 1871 di mana perbuatan menerima hadiah yang boleh disifatkan sebagainya sebagai rasuah telah dikanunkan sebagai satu kesalahan undang-undang iaitu dalam kanun kesiksaan, 1871.  Kemudian budaya rasuah ini terus menular dan berlaku di Malaysia seperti tiada jalan penyelesaiannya.
            Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab “al-risywah”.  Dalam Al-Quran, perkataan rasuah digolongkan dalam kata umum batil iaitu meliputi juga perbuatan jenayah lain seperti merompak, memeras ugut, dan menipu. Terdapat banyak definisi rasuah yang telah diutarakan oleh para sarjana.  Namun setelah diteliti, hampir setiap definisi tersebut mempunyai dua unsur iaitu penyalahgunaan kekuasaan yang melampaui batas kewajaran hukum oleh para pejabat atau apatur negara dan mengutamakan kepentingan peribadi atau klien diatas kepentingan publik oleh para pejabat atau apatur negara yang bersangkutan.
            Menurut Syed Hussein Alatas (1995) inti rasuah adalah penyalahgunaan kepercayaan  untuk kepentingan peribadi.  Beliau telah menyenaraikan ciri-ciri rasuah yang telah diringkaskan seperti suatu pengkhianatan terhadap kepercayaan, penipuan terhadap badan pemerintah, lembaga swasta atau masyarakat umumnya, dengan sengaja melalaikan kepentingan umum untuk kepentingan khusus, dilakukan dengan rahsia, kecuali dalam keadaan di mana orang-orang yang berkuasa atau bawahannya menganggapnya tidak perlu, melibatkan lebih dari satu orang atau pihak, adanya kewajipan dan keuntungan bersama, dalam bentuk wang atau yang lain, terpusatnya kegiatan (rasuah) pada mereka yang mengkehendaki keputusan yang pasti dan mereka yang dapat mempengaruhinya, adanya usaha untuk menutup perbuatan rasuah dalam bentuk-bentuk pengesahan hukum dan menunjukkan fungsi ganda yang kontradiktif pada mereka yang melakukan rasuah.[1]
            Dari jenis taipologi, rasuah dapat dibahagikan kepada tujuh jenis iaitu rasuah transtaktif, rasuah yang memeras, rasuah invesif, rasuah perkerabatan, rasuah defensive, rasuah autogenic, dan rasuah dukungan.  Jenis-jenis rasuah ini dikategorikan mengikut kelakuan rasuah tersebut.



PUNCA-PUNCA BERLAKUNYA GEJALA RASUAH
Rasuah yang telah melanda segenap sistem yang ada pada waktu lepas adalah berpunca daripada Perang Dunia Kedua.  Hal ini telah dibuktikan dengan Laporan Jawatankuasa Santhanam seperti di India, menurut jawatankuasa tersebut peperangan yang berlaku dengan begitu meluas telah memberi peluang untuk gejala rasuah berlaku.  Manakala di Tanah Melayu pendudukan Jepun telah menyebabkan timbulnya rasuah yang membengkak secara mendadak.  Kelangkaan barang dan bahan makanan, inflasi yang menggila, dan lemahnya pengawasan pemerintah telah menjadikan rasuah sebagai senjata yang ampuh untuk menutup kurangnya pendapatan.  Disini jelas menujukkan bahawa situasi perang melahirkan banyak masalah rasuah.[1]
Selain itu, faktor lain yang menyumbang terus berlangsungnya rasuah adalah pemerintahan kolonial.  Rasuah tidak hanya ada dalam pemerintahan kolonial tetapi juga terus berkembang sebagai satu pengaruh yang tidak langsung yang menghasut kaum nasionalis untuk melawan pemerintah.  Sebagai contoh, di India, semasa penjajahan Inggeris, perbuatan menipu pemerintah umumnya dianggap sebagai perbuatan yang patriotik.  Begitu juga dengan perbuatan mencuri bola lampu  serta perlengkapan lain dalam gerabak kereta api, melindungi para pelanggar undang-undang dari tangkapan polis, penghindaran cukai, dan lain-lain yang dianggap sebagai perbuatan yang bertujuan agar pemerintah kolonial tidak merampas wang rakyat India.   Namun setelah kemerdekaan pada tahun 1947, kebiasaan bersikap tidak jujur terhadap pemerintah terus berlanjut begitu juga dengan gejala rasuah.
Punca rasuah seterusnya ialah keadaan perang yang disusuli dengan penyerahan kuasa kepada kelompok baru yang memerintah secara tiba-tiba telah mewujudkan banyak peluang rasuah yang sebelumnya tidak ada.  Watak para pemimpin yang menentukan kepada situasi seperti ini.  Jika mereka melakukan rasuah atau membiarkan berlakunya rasuah, maka anasir-anasir rasuah akan mengukuhkan kedudukan mereka.  Di negara-negara Asia yang baru sahaja merdeka, para pemimpinnya telah mengamalkan rasuah atau membiarkan terjadinya rasuah contohnya di India, Nehru seringkali dipersalahkan kerana sikapnya yang membiarkan rasuah terjadi seperti kes rasuah yang menyangkut teman baiknya, Krishna Menon yang melakukan banyak pelanggaran dalam kes yang disebut sebagai skandal jeep ketika dia menjawat jawatan sebagai Pesuruhjaya Tinggi India di London.[2] 
 Punca berlakunya rasuah juga ialah daripada bertumbuhnya jumlah pegawai negeri dengan cepat, dengan akibat gaji mereka menjadi sangat kurang atau sedikit.  Keadaan ini seterusnya menuntut mereka untuk mendapatkan pendapatan tambahan menampung keperluan hidup.  Keadaan semakin bertambah runcing apabila pengarah melakukan rasuah semasa perang, bertambahnya jumlah pegawai awam dengan cepat, bertambah luasnya kekuasaan dan kesempatan birokrasi, ditambah pula dengan lemahnya pengawasan pemerintah, dan pengaruh-pengaruh parti politik yang menyediakan peluang yang sangat besar untuk berlakunya rasuah. 
Terdapat juga punca lain berlakunya rasuah selain daripada disebabkan oleh  peperangan iaitu institusi hadiah dan kewajipan menyantuni keluarga.  Menurut kajian sarjana, orang Asia tidak tahu perbezaan antara kewajiban kemasyarakatan dan kewajiban perseorangan, dan seringkali juga perbezaan antara sumber milik pemerintah dan juga sumber milik peribadi.  Hal ini kerana fikiran naif orang Asia yang tidak membezakan antara kewajiban kemasyarakatan dan kewajiban peribadi ini, maka terjadilah rasuah dan mereka tidak mengira yang mereka melakukan sesuatu yang salah sehinggalah beberapa orang eropah mengatakan perbuatan tersebut adalah salah.  Sebagai contoh, seorang wanita penjual makanan di sebuah warung, anaknya datang dan ibunya memberinya makanan. Ini adalah pemberian keibuan dan pembayaran bukannya yang diharapkan tetapi yang diharapkan ialah cinta kasih anak.  Lalu datang pula seorang Inspektor keselamatan dan wanita itu memberinya makanan serta menolak bayaran daripada Inspektor tersebut, ini adalah satu suapan.  Pemberian makanan tersebut bukanlah suapan jika tidak ada harapan bahawa Inspektor itu akan menggunakan jabatannya untuk melindungi kepentingannya.  Tetapi jika Inspektor itu tidak mempunyai wang lalu wanita tersebut memberinya makanan, perbuatan tersebut adalah dermawan.  Dorongan psikologis yang menentukan pertukaran tersebut.  Dengan adanya pelbagai bentuk perilaku dan pola-pola motivasi tidak membenarkan kita untuk menarik kesimpulan bahawa suatu bentuk bersumber dari bentuk yang lain.[3] 
Punca peribadi juga adalah sebagai satu penyebab dan penanggungjawab daripada mereka yang menganggap situasi eksternal, iaitu struktur sosial, sebagai sesuatu yang menentukan dalam masalah rasuah.  Bagi memudahkan penghuraian, istilah “individual” dan “sosial” akan digunakan.  Istilah individual yang dimaksudkan ialah penjelasan tentang rasuah yang pada akhirnya mengecilkan gejala itu sebagai keperibadian perseorangan.  Sedang yang dimaksud dengan sosial ialah penjelasan untuk mencari penyebab rasuah di luar keperibadian seseorang.  Institusi budaya, kemiskinan, penderitaan luar biasa, perubahan politik besar-besaran, peperangan, sistem hukuman yang tidak sempurna adalah pengaruh yang berasal dari luar diri individu ini dianggap sebagai sebab-sebab rasuah yang menentukan.  Apabila ada sesuatu yang menciptakan hambatan dalam tatapemerintahan pada sektor-sektor yang berhubungan dengan khalayak ramai, hal itu akan menjadi sumber kepada berlakunya gejala rasuah.[4]
Punca-punca lain berlakunya rasuah ialah modenisasi.  Huntington mengatakan bahawa modenisasi membawa perubahan norma.  Penyataan ini hanya berlaku bagi dunia bukan Barat, sedangkan di Barat, modenisasi membawa perkembangan sumber-sumber kekayaan dan kekuasaan baru serta menampilkan kelas-kelas baru dengan tuntutan-tuntutan baru.  Dalam masyarakat Barat, Huntington melihat terjadinya rasuah yang meluas sebagai akibat industrialisasi, yang membuka peluang kepada orang untuk mencari kekayaan lebih banyak.  Modenisasi membantu pengaruh rasuah kerana ia menciptakan sumber kekayaan baru dan kelas-kelas baru yang mencita-citakan kekuasaan dengan menggunakan sarana rasuah dan ia menciptakan perluasan kegiatan-kegiatan pemerintahan.[5]
Dikatakan oleh seorang sarjana bahawa penyelewengan yang melanda di pelbagai negara yang sedang membangun itu adalah kerana tidak cukupnya gaji pegawai negeri. Hal ini kerana disebabkan oleh adanya rasuah dan perencanaan yang buruk. Syed Hussein Alatas telah diberitahu oleh oleh Laksamana Sudomo pada waktu beliau berkunjung ke  Jakarta pada Ogos 1982, bahawa pemerintah Indonesia akan mempunyai wang yang cukup untuk menggaji pegawai negerinya jika cukai dibayar secara jujur. Hal ini kerana rasuahlah yang telah menggurangkan sumber-sumber pendapatan pemerintah.  Walaupun pembaikkan struktur cukai atau peraturan pentadbiran telah dilakukan, namun ianya tidak akan mengubah  masalah selagi mana orang-orang yang terlibat didalamnya tetap melakukan rasuah.[6]
Ada juga sarjana yang mengatakan bahawa peperangan, pembukaan tanah baru secara besar-besaran dan situasi-situasi lain yang memberi peluang besar bagi rasuah dan juga sebagai penyebab meledaknya rasuah tetapi tidak menjelaskan kelangsungan dan kekukuhan rasuah yang berlaku pada waktu-waktu lepas tersebut.  Rasuah yang berlaku di Indonesia dewasa ini tidak dapat dijelaskan dengan hal-hal yang ada di masa peperangan sementara dua  generasi ini telah terbiasa dengan cara-cara rasuah.  Hal yang sama juga berlaku di negara-negara yang sedang membangun yang mengalami peperangan.  Sebaliknya, setelah peperangan berakhir, rasuah diketahui mereda tetapi bermaharaja kembali sesudah mencapai kemerdekaan.  Hal yang demikian juga berlaku di Malaysia. Walaupun memang benar bahawa mereka yang berkuasa pada awal kemerdekaan menjadi kecanduan rasuah dari masa berlangsungnya peperangan, tetapi perang itu adalah situasi sementara yang telah melahirkan rasuah yang meluas pada waktu seterusnya.  Kelangsungan dan meluasnya rasuah adalah disebabkan dari faktor-faktor lain yang tidak timbul dari peperangan sahaja.
Punca seterusnya ialah faktor kelemahan individu.  Punca asas seseorang melakukan rasuah adalah kerana kurangnya iman dan ketaqwaannya terhadap Tuhan.  Walaupun diketahuinya rasuah itu salah tetapi tetap melakukannya dengan alasan-alasan tersendiri dan selagi manusia lain tidak tahu.  Selain dari itu, faktor-faktor seperti suka menyenggara hidup melebihi pendapatan, suka hidup mewah, tamak haloba, ingin cepat kaya, suka berjudi, dan berhutang menyebabkan seseorang itu terjerumus ke lembah rasuah.[7] 
 Rasuah juga berlaku disebabkan dari faktor kelemahan kepimpinan dan pentadbiran.  Kelemahan yang lemah hingga menyebabkan kurang atau tiada penyeliaan serta pengawasan pihak atasan boleh menyebabkan rasuah berlaku.  Hasil pemerhatian dan kajian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPR) ke atas kes-kes yang telah disiasat tetapi tidak dapat dibawa ke mahkamah, menunjukkan bahawa antara faktor-faktor berlakunya rasuah dalam perkhidmatan awam berpunca dari kurangnya pengawasan oleh pegawai atasan.  Di samping itu terdapat juga kelemahan-kelemahan dalam sistem atau prosedur kerja yang membuka peluang serta memberi laluan kepada pegawai-pegawai melakukan rasuah dan penyelewengan.
Seterusnya rasuah juga berpunca daripada faktor sosial dan kebudayaan.  Setiap kaum di negara Malaysia mempunyai budaya hidup dan tradisi masing-masing berhubung dengan pemberian wang atau hadiah.  Kaum cina suka memberi angpau, manakal tradisi orang-orang Melayu pula suka memberi buah tangan dan bersedekah, walaubagaimanapun pemberian-pemberian ini di buat di masa-masa tertentu di luar masa atau keadaan yang sepatutnya ia diberikan.  Ianya bertujuan untuk mengaburi mata orang ramai agar tidak disebut rasuah. Dalam proses menerima dan memberi wang atau hadiah ini diwujudkan suasana termakan budi yang mengakibatkan “social obligation” dan keadaan ini mempercepatkan merebaknya amalan rasuah.[8]
Rasuah juga semakin menular disebabkan dari faktor pembangunan sosio-ekonomi dan modenisasi.  Walaupun tidak ada kajian untuk menunjukkan nisbah yang mengaitkan pertalian antara kadar amalan rasuah dengan kadar kepesatan pembangunan sosioekonomi, tetapi kita dapat perhatikan bahawa kadar rasuah meningkat dengan meningkatnya proses pembangunan dan modenisasi dalam negara.  Secara logiknya, ini adalah kerana dalam proses pembangunan dan permodenan, banyak rancangan-rancangan pembangunan dijalankan dan dengan demikian pengaliran wang turut bartambah. Orang-orang tertentu yang terlibat dengan projek tersebut mengambil kesempatan mengaut keuntungan untuk poket sendiri.  Selain dari itu, tekanan untuk hidup berlumba-lumba dan mendapatkan faedah-faedah daripada rancangan-rancangan pembangunan tadi akan berlumba-lumba inilah yang akan mendorong mereka untuk sedaya upaya cuba mendapatkan tempat untuk memenangi hati pegawai-pegawai kerajaan yang mempunyai urusan dengan kepentingan mereka.  Oleh itu, jalan yang paling senang untuk memikat hati pegawai-pegawai tersebut ialah dengan memberi sogokan agar sesuatu urusan itu cepat diberi pertimbangkan dan diambil tindakan.[9]
Seterusnya rasuah juga berpunca daripada faktor politik.  Dalam konteks ini, perbuatan pilih kasih (nepotisme) serta salahguna kuasa dan jawatan berlaku demi kepentingan dan faedah untuk diri sendiri.  Kelemahan pengawasan semakin memudahkan gejala salahguna kuasa ini berlaku.  Pemerintah pula seakan-akan membiarkan sahaja apa yang berlaku kerana gejala rasuah tersebut mengukuhkan kedudukannya.  Perbuatan pilih kasih ini juga bersangkkutan dengan pemilihan pekerja-pekerja, iaitu ahli keluarga dan kaum diutamakan berbanding yang lebih layak atau yang sepatutnya diberi kerja kerana tiada pertalian terutamanya dalam sektor awam.  Keadaan ini dapat dilihat sendiri dalam sesuatu jabatan itu yang dipenuhi dengan asal usul yang sama.[10]
Kesimpulan yang dapat dibuat oleh saya ialah kebanyakkan sarjana-sarjana memberikan punca-punca berlakunya rasuah lebih kurang sama jenisnya dan hanya berbeza pada huraiannya.  Punca-punca yang diberikan oleh mereka jika diteliti dengan jelas kebanyakkannya berkait rapat dan berpunca daripada pucuk kepimpinan dan pentadbiran sesebuah negara.


KESAN-KESAN GEJALA RASUAH
Hasil kajian dan penyelidikan oleh ahli-ahli akademik seperti Gunner Mydral, Colin Leys, James Scott, David H.narey dan lain-lain menunjukkan bahawa rasuah mempunyai kesan-kesan bukan sahaja negatif tetapi mempunyai kesan positif jika dinilai dari segi fungsi rasuah.  Walaubagaimanapun, ianya bergantung kepada sistem nilai dan norma masyarakat berkenaan.  Walau apapun tanggapan individu dalam menilai kesan-kesan rasuah, namun hakikatnya rasuah melahirkan lebih banyak keburukan dan kebinasaan.  Umpamanya walaupun pemberi rasuah boleh mempercepatkan proses kerja jika dinilai dari segi fungsi positif rasuah sebagai “catalyst”, namun disebaliknya berlaku keburukan yang mana ia mengajar seseorang itu malas bekerja, kurang inisiatif, tidak amanah serta ketidakadilan sosial berlaku.
Kesan pertama ialah kesan terhadap pelaku rasuah.  Kesan yang paling cepat dirasakan adalah keatas individu-individu yang terlibat dengan rasuah itu sendiri.  Mereka akan kehilangan pekerjaan dan kepercayaan masyarakat terhadapnya.  Terdapat satu kes di mana SPRM telah menangkap seorang awam yang telah melakukan rasuah.  Beliau telah didapati bersalah dan menerima hukuman penjara. Lanjutan peristiwa itu, isteri dan empat orang anaknya masih kecil datang ke pejabat SPRM bagi menyara hidup keluarganya.  Pesalah serta keluarganya juga mengalami gangguan emosi dan psikologi.  Kajian yang telah dijalankan oleh SPRM keatas orang-orang yang pernah ditangkap dan dihukum kerana rasuah mendapati bahawa pesalah-pesalah rasuah telah mengalami tekanan jiwa, malu, terhina, menjadi sensitif, kebebasan tergugat serta pergaulan sosial yang terhad. Satu lagi kesan yang dirasai ialah bilamana mengalami kerugian wang yang banyak kerana terpaksa membayar khidmat peguambela sehingga ada yang terpaksa bergadai harta benda.[11]
Rasuah juga telah menyebabkan  tumpuan pelaburan dan pembangunan tidak seimbang dan saksama, iaitu jika berlakunya rasuah dan penyelewengan, maka ia akan mewujudkan golongan masyarakat yang terpaksa menanggung kesan buruknya.  Tumpuan pembangunan dan pelaburan berpusu ke sektor tertentu sahaja.  Ketidakseimbangan ini wujud bukan kerana sektor ini mempunyai permintaan dan keuntungan yang tinggi tetapi kerana rasuah.  Maka berlakulah pertumbuhan ekonomi yang berat sebelah dan sektor-sektor lain yang tidak ada peluang untuk melakukan rasuah, maka ia tidak diperkembangkan.[12]
Selain itu, rasuah juga akan menjauhkan jurang perbezaan di antara golongan miskin dan kaya.  Lazimnya golongan yang kaya mempunyai sumber kewangan yang banyak untuk mempengaruhi keputusan-keputusan yang dibuat oleh pegawai kerajaan, lalu membolehkan mereka memperoleh lebih banyak peluang yang ditawarkan oleh kerajaan, walaupun kadangkala mereka tidak berhak mendapatkannya.  Rasuah kepada mereka merupakan satu jambatan untuk mengaut lebih banyak keistimewaan dan menambahkan kekayaan.  Keadaan ini akan menimbulkan ketidakadilan sosial yang akhirnya akan menjejaskan integrasi nasional.
Seterusnya, rasuah turut menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.  Apabila amalan rasuah berlaku dalam dunia perniagaan, peniaga-peniaga biasanya akan memindahkan kos memberi rasuah kepada para pengguna dengan cara menaikkan harga barang dan perkhidmatan kerana ianya dianggap sebagi kos modal.[13]
Rasuah juga turut menyebabkan pengaliran wang keluar negara (capital outflow).  Mengumpul dan menyimpan wang rasuah di dalam negara dirasakan tidak selamat oleh penerima-penerima rasuah, kerana ia boleh dikesan oleh pihak berkuasa dan merampasnya.  Oleh yang demikian, wang rasuah (yang merupakan wang negara) di simpan di bank-bank luar negara.  Ini bermakna negara akan kehilangan pertukaran wang asing dan modal.  Hal inilah yang telah berlaku di Amerika Selatan pada tahun 1954-1959 di mana tiga diktaktor Amerika selatan iaitu Peron, Parez Jimenez dan Batista) telah memindahkan US 1.5 billion dollar wang negara mereka ke negara lain.[14]
Selain daripada itu juga, gejala rasuah yang berleluasa turut mengancam keselamatan negara dan rakyat.  Kontraktor-kontraktor yang memberi rasuah kepada pegawai-pegawai kerajaan akan menyebabkan mereka menghasilkan kerja atau perkhidmatan yang kurang bermutu dan tidak menepati spesifikasi demi mencapai target keuntungan yang diharapkan.  Bayangkanlah, apa yang akan terjadi kepada rakyat jelata yang menyeberangi sebuah jambatan yang dibina tidak mengikut spesifikasi atau menghuni rumah-rumah yang dibuat tidak mengikut mutu yang ditetapkan.  Juga, tidak mustahil sekiranya dadah dan senjata api dapat menembusi kubu pertahanan keselamatan sekiranya berlaku suapan di pintu masuk negara.
Rasuah juga antara lainnya dapat mencetuskan pergolakkan sosial dan rusuhan.  Walaupun negara kita belum lagi mengalami tindakan ganas dari rakyat kerana kepimpinan yang dilanda rasuah, namun contoh-contoh dari pergolakkan sosial dan rusuhan lain yang berlaku di beberapa negara lain boleh dijadikan contoh.  Apabila rakyat merasa kecewa dan perasaan benci meluap-luap kerana ditindas, ditipu, kecurangan dan ketidakadilan dilakukan oleh golongan pemerintah, maka kebangkitan rakyat tidak dapat dielakkan.[15] 
Kesan rasuah juga dapat menjejaskan kecekapan dan kelicinan pentadbiran.  Apabila seseorang pekerja itu telah biasa disogokkan supaya mempercepatkan sesuatu kerja, maka ia akan dengan sengaja melambat-lambatkan pengendalian tugas-tugasnya kerana megharapkan untuk memperoleh lagi “speed money”.  Lebih banyak sogokan, lebih istimewa pula layanan serta tumpuan yang diberikan.  Keadaan ini sudah tentu menjejaskan moral, etika perkhidmatan, kecekapan dan prestasi kerja dalam sesebuah jabatan.  Akhirnya juga akan menjejaskan keseluruhan imej dan keutuhan jabatan tersebut.[16]
Gejala rasuah yang melanda di dalam sesebuah negara juga akan menggalakan jenayah dan melindungi para penjenayah.  Undang-undang yang diwujudkan adalah untuk melindungi rakyat dari jenayah dan untuk menghukum penjenayah-penjenayah. Sekiranya pegawai-pegawai yang diamanahkan untuk menguatkuasakan undang-undang tidak menjalankan tanggungjawabnya kerana sanggup menerima rasuah, maka penjenayah-penjenayah akan terlepas kerana tidak diambil tindakan undang-undang.  Keadaan ini seterusnya akan menggalakkan lagi mereka untuk melakukan jenayah kerana mereka tahu untuk melepaskan diri.
Di antara akibat-akibat rasuah yang telah dicatat oleh mereka yang menaruh perhatian terhadap masalah itu, yang paling jelas adalah pelbagai bentuk keadilan  telah mempengaruhi peribadi-peribadi yang terbilang banyaknya, di saat-saat yang sangat menyedihkan.  Sebuah contoh adalah banyaknya kematian sebagai akibat kepayahan kerana bantuan untuk mereka dicuri oleh orang-orang yang melakukan rasuah.  Andreski mencatat banyak contoh ketidakadilan yang ditimbulkan oleh rasuah di Afrika Barat.  Di rumah-rumah sakit para pesakit harus membayar jururawat untuk mengambilkan mangkuk najis.  Para doktor pun harus disuap.  Para pesakit yang tidak mampu berbayar akan disuntik dengan air yang diberi dengan zat pewarna kerana ubat-ubatan telah dicuri di farmasi.  Seluruh masyarakat tersebut telah dirasuki rasuah sehingga akan tampak sangat mengerikan bagi orang yang hidup dalam masyarakat terbabit.[17] 
Rasuah juga akan menumbuhan ketidakcekapan yang menyeluruh di dalam birokrasi dan lembaga-lembaga lainnya.  Yang pertama di antara mata rantai sebab akibat berupa hancurnya dasar-dasar akademik.  Kenaikkan tingkat atau pangkat didalam bidang akademik tidak benar-benar didasarkan pada karya penelitian dan penerbitan seseorang, melainkan mendapat berkat antara hubungan, sikap menjilat, keperluan pertandingan atau sekadar kemampuan menaiki tangga karier.  Para pensyarah sama sekali tidak berminat pada mata kuliah yang dipegangnya, tidak ada perhatian intelektual terhadap masalah pendidikan, tidak mempunyai kecenderungan banyak membaca agar dapat memperolehi pengetahuan muktahir dalam bidangnya, dan akhirnya tidak mempunyai harga diri. Apa yang terjadi di kampus-kampus juga terjadi di birokrasi dan lembaga-lembaga lain yang serupa.  Tidak terdapat kreativiti kerja yang terbit dari suasana yang sihat.  Tenaga dihabiskan untuk mewujudkan bentuk dan hakikat serta minat membangun tertimbun oleh semangat rasuah.  Wang suap yang diberikan oleh sebuah perusahaan telah mengurangkan kecekapan pemerintahan kerana membuatkannya abai terhadap alternatif lainnya yang realistik dan rasional.  Keuntungan yang diperoleh oleh perubahan itu adalah kerugian bagi pemerintah  kerana harga barang-barang yang bersangkutan sering dinaikkan.[18]
Rasuah juga jelas telah menyuburkan jenis kejahatan lain di dalam masyarakat.  Melalui rasuah sindiket kejahatan atau penjahat perseorangan dapat membengkokkan hukum, menyusupi organisasi negara, dan memperoleh penghormatan.  Secara luas dikenal di India, bahawa para penyeludup yang terkenal menyusupi ke dalam tubuh parti dan memegang jawatan.  Di Amerika Syarikat, misalnya melalui pemberian suap, polis yang melakukan rasuah memberi pelindungan kepada organisasi-organisasi penjahat.  Sebagai akibat pengaruh metastiknya, rasuah menyebar dari satu bidang ke bidang yang lain.  Hal itu mungkin semula hanya berupa pemberian dengan tujuan yang tersembunyi.[19]
Pengaruh kolektif dan komulatif dari rasuah akan melemahkan semangat birokrasi dan mereka yang menjadi korban.  Pengaruh pertama yang melemahkan itu ialah pelayanan palsu.  Kerja yang dilakukan oleh orang yang menyeleweng adalah tidak tulus.  Dia tidak menaruh minat pada kerja itu dan  dengan demikian seorang kepala polis yang terlibat didalam penyeludupan ubat bius dan rasuah yang bermaharajalela tidak akan memperhatikan pekerjaannya di dalam pasukan polis, tidak akan mencurahkan kemampuannya yang terbaik untuk pekerjaan itu, tidak akan mencurahkan waktu sepenuhnya untuk memikirkan pekerjaanya.  Kegiatan yang tampak hanya dirancang sekadar untuk mengabsahkan kehadirannya pada kedudukannya yang ditempatinya itu.  Dia tidak mempunyai minat yang sesungguhnya di dalam pekerjaannya.  Maka kerjanya hanyalah sesuatu yang semu sebagai ganti sesuatu yang murni yang tidak dia lakukan.[20]
Rasuah juga turut membantu kepentingan musuh di dalam perang.  Rasuah di Vietnam bukan sahaja sesuatu kejahatan malahan juga sebagai pengkhianatan.  Perlengkapan tentera dan ubat-ubatan jatuh ke tangan Vietcong (musuh) melalui pasar gelap.  Salah satu pasar gelap ialah di Qui Nhon di mana dapat diperoleh segala macam barang seperti makanan dan minuman, pakaian, senjata ringan, meriam, peluru, berpeti-peti bom tangan, peti televisyen, dan mesin cuci.  Dapat pula orang membeli trak-trak berat, kenderaan lapis baja, dan bahkan helikopter melalui pasar gelap.  Kenderaan-kenderaan ini lenyap begitu sahaja pada malam hari dan dinyatakan telah dirampas oleh Vietcong sedangkan penyelewengan yang dilakukan oleh orang dalam.
Selain itu rasuah juga akan meninggalkan kesan yang mendalam di dalam ekonomi sesebuah negara.  Kita telah sedia maklum bahawa beban ekonomi yang timbul akibat dari gejala rasuah jatuh ke bahu masyarakat.  Segala kos suapan atau pemerasan telah dimasukkan kedalam kos pembiayaan atau modal perniagaan.  Hal ini telah menyebabkan harga-harga barang menjadi lebih mahal, di samping beban berupa cukai dan pungutan lain yang sah.  Kebebasan yang timbul sebagai akibat rasuah mendorong para pengusaha dan indrustriawan yang serakah untuk menambah batas keuntungan dengan melalaikan mutu dan menaikkan harga.  Ini adalah akibat langsung terhadap pengguna.  Selain itu penderitaan masyarakat masih bertambah kerana orang-orang yang melakukan rasuah yang kaya dan mengetahui cara-cara menghindarkan diri daripada membayar cukai.  Pengelakkan seperti ini mengakibatkan lebih tingginya pungutan cukai yang harus dibayar oleh warganegara  yang jujur, untuk menutup jumlah yang tidak dibayar oleh orang-orang yang melakukan rasuah itu tadi.

(1.0)      PENUTUP
Setelah meneliti dari pelbagai pendapat para sarjana mengenai rasuah, punca-punya dan kesan-kesannya dapat disimpulkan di sini bahawa rasuah adalah satu gejala yang harus di banteras dengan segera .  Program yang di atur oleh pemerintah untuk menghapuskan atau melenyapkan gejala rasuah bergantung kepada keadaan dan kemahuan kelompok pemimpin itu sendiri.  Penyusunan program bergantung kepada kesedaran mereka yang terlibat iaitu pengertian mereka terhadap sifat, punca-punca dan kesan-kesan rasuah.  Begitu juga jika suatu pemerintahan menetapkan untuk membanteras rasuah dan dan mempunyai kesempatan untuk itu, tidaklah sukar untuk mengubah keadaan, secara bertahap tetapi mantap.  Kesedaran yang kuat harus wujud dari setiap sudut organisasi dan di setiap peringkat pemerintahan agar gejala rasuah ini dapat di bendung.  Perencanaan haruslah benar-benar dilakukan dan tidaklah cukup jika hanya publisiti yang dilakukan.  Masyarakat dari setiap sudut negara haruslah prihatin terhadap masalah ini agar ianya tidak terus berlaku dan berlaku sehingga mereka yang terpaksa menanggung kesannya.


[1] Syed Hussein Alatas. 1995. Rasuah. Sifat, Sebab dan Fungsi. Hlm 125.
[2] Syed Hussein Alatas. 1995. Rasuah. Sifat, Sebab dan Fungsi. Hlm 127.
Mohd Yusuf Bahir. (2007). Kuasa pemangkin Rasuah. Hlm 35.

[3] [3] Syed Hussein Alatas. 1995. Rasuah. Sifat, Sebab dan Fungsi. Hlm 128.
[4] Rasidah Abdul Rasyid. (1990). Rasuah:Satu Kajian Mengenai Sebab-Sebab Berlakunya Rasuah.
Bertrand De Speville. (2010). Overcoming Corruption. Hlm 75.
[5] Bertrad De Speville. (2004).Overcoming Corruption. Hlm 73.
[6] Syed Hussein Alatas. 1995. Rasuah. Sifat, Sebab dan Fungsi. Hlm 175.
[7] Mohd. Nordin Ahmad. (1995). Masyarakat Melayu. Budaya Rasuah dan Penyelesaiannya. Hlm 13.
[8] Rasidah Abdul Rasyid. (1990). Rasuah : Satu Kajian Mengenai Sebab-Sebab Berlakunya Rasuah. Halaman 35.
[9] Kamarudin Bin Arim. (2004). Tesis Kajian Kes Rasuah Di Malaysia. Hlm 145.
[10] Noor Sulastry Yurni Ahmad. (2011). Barah Rasuah dan Transformasi di Malaysia.
[11] Ismail Awang. (1999). Gejala Rasuah dalam Budaya Kerja. Hlm 43.

[12] Hussain Mohamed. (2003). Rasuah :Mewah, Bergaya, Tetapi Celaka Padahnya. Hlm 60.
[13] Hussain Mohamad. (2003). Gejala Rasuah : Mewah, Bergaya, tetapi Celaka Padahnya. Hlm 63.
[14] Bertrand De Speville. (2004). Overcoming Corruption. Hlm 78.
[15]  Kamarudin bin Arim. (2004). Tesis Kajian Kes Rasuah di Malaysia. Hlm 345.
[16] Abd. Khalil Abdul Manap.(1974) Satu Taipologi Rasuah di Malaysia. Hlm 37.
[17] Syed Hussein Alatas. 1995. Rasuah. Sifat, Sebab dan Fungsi. Hlm 184.
[18] Syed Hussein Alatas. 1995. Rasuah. Sifat, Sebab dan Fungsi. Hlm 189.
[19] Kamarudin Arim. (2004). Kajian Kes Tentang Rasuah di Malaysia. Hlm 92.
[20] Syed Hussein Alatas. 1995. Rasuah. Sifat, Sebab dan Fungsi. Hlm 201.

No comments:

Post a Comment