Wednesday 26 December 2012

Teori Konflik Dalam Organisasi


PENGENALAN TEORI KONFLIK
Teori konflik telah diperkenalkan oleh seorang ahli sains sosial dan juga ahli ekonomi yang berasal dari Jerman iaitu Karl Marx dan kemudiannya telah diikuti oleh Weber.  Antara karya yang telah dihasilkan dalam memperkatakan mengenai teori konflik ini ialah “ The Communist Manifesto”.  Pandangan teori konflik ini ialah mengutamakan kaedah determinisme di mana terdapat kuasa yang meramalkan sesuatu.  Konflik yang dimaksudkan bukanlah seperti sesuatu yang ganas tetapi ia berlaku di dalam bentuk perjuangan parti-parti, persaingan dalam institusi agama dan sebagainya.  Konflik juga adalah sesuatu yang berlaku dalam keadaan semulajadi di dalam sesebuah masyarakat.  Sesuatu konflik yang berlaku dipercayai  boleh mempercepatkan proses kesetiaan dan keharmonian di dalam sesuatu kelompok sosial. 
            Terdapat tiga andaian penting mengenai teori konflik ini iaitu konsep dialetik, determinisme dan aktivisme sosial.  Konsep dialetik bermaksud evolusi bukanlah merupakan proses utama kepada perubahan sosial, tetapi sebab utama terjadinya perubahan sosial adalah disebabkan konflik.  Manakala determinisme ekonomi pula bermaksud asas kepada terjadinya perubahan sosial  adalah ditentukan oleh persaingan-persaingan ekonomi yang wujud di dalam sesebuah masyarakat.  Aktivisme sosial pula bermaksud tugas utama analisis sosial ialah kritikan.
            Organisasi pula adalah satu struktur susunan manusia yang bekerjasama dalam mencapai sesuatu tujuan bersama.  Menurut James D.Mooney, organisasi adalah bentuk setiap perseikatan manusia untuk mencapai tujuan bersama.  Di dalam sesebuah organisasi, setiap individu di dalamnya akan berinteraksi dengan semua struktur yang berkait rapat dengannya bagi mencapai tujuan bersama.
KONFLIK DI DALAM ORGANISASI
Interaksi dalam sesebuah organisasi sememangnya sesuatu yang tidak dapat dielakkan.  Dalam banyak keadaan ahli-ahli di dalam organisasi akan bertemu atau berinteraksi baik secara individu ataupun secara berkumpulan dalam pertemuan-pertemuan formal seperti mesyuarat, seminar, dan bengkel atau dalam keadaan yang informal seperti parti serta pertemuan sosial yang lain.  Namun ada kalanya interaksi ini tidak berjalan dengan lancar atau tidak berjalan menurut jangkaan.  Hal ini wujud kerana terdapat pertentangan antara dua atau lebih ahli di dalam organisasi ataupun pertentangan antara aua atau lebih kumpulan atau unit di dalam organisasi tersebut.  Keadaan seperti inilah yang menjadikan konflik dalam organisasi tersebut yang kemudian akan dikaitkan dengan teori konflik Karl Marx.
            Menurut Hall (1996), terdapat tiga jenis konflik di dalam sesebuah organisasi.  Konflik fungsional lazim berlaku dalam sesebuah organisasi yang mengandungi pelbagai unit untuk menjalankan fungsi yang berbeza-beza dan juga di sebabkan persamaan fungsi dalam sesebuah unit atau jabatan.  Jenis konflik seterusnya ialah dikenali sebagai konflik hierarki yakni konflik pergelutan antara individu untuk mendapatkan sumber-sumber yang terhad seperti ganjaran, status, prestij, atau wang.  Secara umum, konflik antara kumpulan timbul adalah disebabkan tiga elemen penting iaitu identifikasi kumpulan, perbezaan yang jelas antara kumpulan-kumpulan dan juga perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu. Konflik antara kumpulan dalam organisasi juga boleh dibahagikan kepada dua iaitu konflik mendatar dan konflik menegak dan sama sekali berkait rapat dengan teori konflik yang diperkenalkan oleh Marx.

KAEDAH DIALEKTIK
Kaedah ini merupakan kaedah yang dianggap oleh Marx dan Engels sebagai pencapaian terbaik falsafah Jerman Klasik.  Mereka berpendapat bahawa mana-mana formulasi prinsip mengenai kemajuan, mengenai revolusi, adalah berat sebelah dalam isu kandungan,dan hanya dapat memesongkan dan mencederakan aliran kemajuan sebenar.  Menurut Marx manusia sememangnya mementingkan kebendaan atau nilai-nilai material dan merasakan tidak puas hati dengan apa yang sentiasa wujud dalam setiap ketidakpuasan hati mereka sehingga sanggup berjuang untuk memenuhi keperluan tersebut.  Berbeza dengan kaedah-kaedah lain, kaedah ini lebih melihat hubungan antara fenomina sosial dalam bentuk satu hala sahaja seperti dalam huraian sebab musabab.  Sebagai contoh ialah borjouis (pemodal) menindas golongan proletar (pekerja) yang akhirnya akan menyebabkan golongan proletar akan turut menindas golongan borjuis yang membalas balik tindakan borjuis keatas mereka.
            Hal ini seringkali berlaku di dalam kalangan masyarakat kita terutamanya di dalam sesebuah organisasi ataupun sesebuah syarikat yang mana golongan atasan atau majikan akan menindas golongan pekerja dengan memberi tugasan yang berat kepada pekerja demi kepentingan dirinya yang akhirnya akan menyebabkan rasa tidak puas hati kalangan pekerja dan akhirnya golongan pekerja tersebut bangkit untuk menuntut hak mereka terhadap penindasan yang dibuat oleh majikan mereka atau lebih teruk lagi apabila berlakunya penghapusan terhadap golongan majikan yang sering menindas mereka dengan menghalau dari sesebuah organisasi ataupun syarikat.  Idea dialektik juga tidak memisahkan satu fenomena sosial dengan fenomena lain.
            Melalui kaedah dialektik ini boleh dikaitkan berlakunya konflik menegak didalam sesebuah organisasi.  Konflik menegak berlaku apabila pelbagai bahagian dalam peringkat hierarki organisasi yang berbeza-beza tidak mendapat kesefahaman.  Lazimnya konflik menegak timbul disebabkan isu seperti kawalan, kuasa, matlamat, gaji, dan ganjaran.  Konflik menegak boleh berlaku antara pelbagai kumpulan yang berbeza pada semua tahap hierarki dalam organisasi.
            Konflik menegak berlaku dalam pelbagai bentuk, misalnya pekerja berkonflik dengan ketua, ketua pengeluaran berkonflik dengan eksekutif yang lebih kanan di ibu pejabat atau konflik antara eksekutif di bahagian pengeluaran dengan pekerja bawahan.  Namun, konflik menegak yang dianggap penting dan boleh mewujudkan pelbagai masalah ialah konflik antara pihak pengurusan dan kumpulan pekerja yang lazimnya diwakili oleh kesatuan sekerja.  Konflik jenis ini biasanya berlaku dalam organisasi atau kilang yang besar seperti syarikat besi keluli atau bidang yang terlalu mengkhusus seperti sukan atau kawalan trafik udara.
            Status dan juga perbezaan kuasa antara kumpulan di dalam organisasi merupakan elemen penting dalam konflik menegak berbanding konflik mendatar di dalam sesebuah organisasi.  Justeru, antara sebab berlakunya konflik menegak ialah usaha untuk menyamaratakan atau mengurangkan jurang perbezaan kuasa antara kumpulan.  Kesatuan sekerja biasanya cuba untuk meningkatkan kuasa pekerja dengan cara meminta gaji yang tinggi atau meminta pihak pengurusan memperbaiki keadaan kerja.  Strategi untuk menyelesaikan konflik antara pekerja dan juga pihak pengurusan diformulasikan berdasarkan undang-undang dan peraturan.  Ringkasnya, penyelesaian konflik adalah berdasarkan tatacara perundingan formal yakni wakil daripada kedua-dua belah pihak akan dilantik untuk menyelesaikan perbezaan tersebut.
KONSEP ALIENATION
Alienation ialah keadaan dimana manusia dikuasai oleh satu kuasa yang diciptanya sendiri dan sangat kuat menguasai manusia.  Sebagai contoh, Marx telah memberi satu gambaran jelas tentang contoh-contoh alienation ini melalui penguasaan wang.  Manusia telah mencipta wang dan akhirnya manusia telah dikuasai oleh ciptaanya sendiri iaitu wang yang menjadi simbol kekayaan manusia.  Kekayaan dan kekuasaan seseorang itu diukur dengan wang yang dimilikinya.  Dengan hanya memiliki wang yang banyak mereka akan terus berkuasa dan menguasai, inilah yang dikatakan kuasa wang (the power of money) yang boleh membeli apa sahaja dan boleh mengubah segalanya.
Selain itu disebabkan terlalu ingin mengejar kekayaan, manusia menjadi semakin sibuk dalam melakukan pekerjaan masing-masing sehingga mereka tidak menghiraukan orang disekeliling mereka dan ada yang tidak mengenali rakan yang bekerja bersama-sama mereka.  Mereka bekerja tanpa menghiraukan kemampuan dan kebolehan yang mereka miliki semata-mata kerana mahu mengejar  kekayaan.  Mereka diibaratkan sebagai “robot” atau seperti “lembu dicucuk hidung”.  Menurut Marx, alienation ini boleh diperluaskan sehingga ke peringkat pengeluaran, dimana manusia dikatakan terasing dengan perkara berikut iaitu mereka bekerja untuk mendapatkan upah sahaja dan mereka terasing dalam pekerjaan mereka sendiri.  Selain itu mereka juga terasing dengan hasil keluaran mereka akibat dari pengkhususan pekerjaan.
           

Melalui konsep alienation ini juga dapat dikaitkan dengan konflik mendatar yang berlaku di dalam sesebuah organisasi.  Konflik mendatar berlaku jika ahli daripada jabatan atau kumpulan yang berada dalam hierarki organisasi yang sama berkonflik, contohnya bahagian jualan dan bahagian penyelidikan serta pembangunan tidak mencapai persetujuan mengenai reka bentuk produk baru.  Antara elemen-elemen dalam konteks organisasi yang boleh menyebabkan konflik mendatar antara jabatan ialah faktor persekitaran, saiz, teknologi, matlamat, dan juga struktur.
            Peningkatan ketidaktentuan dan kompleksiti persekitaran menyebabkan wujudnya perbezaan kemahiran, sikap, kuasa serta matlamat demi menyesuaikan diri.  Peningkatan saiz dalam organisasi menyebabkan pelbagai subbahagian diwujudkan di dalam organisasi tersebut.  Selaras dengan pengembangan saiz, pelbagai peraturan pula akan dikuatkuasakan untuk mengawal dan menyelaraskan gelagat ahli-ahlinya.  Hal ini akan turut menjejaskan interaksi dan hubungan antara bahagian-bahagian dalam hierarki tersebut kerana bentuk hubungan antara mereka semakin tidak jelas.  Hal ini dapat dilihat di dalam konsep alienation yang diperkatakan oleh Marx apabila pekerja-pekerja dipisahkan oleh sesuatu sehingga mereka tidak dapat berinteraksi dengan pekerja-pekerja yang lain disekeliling mereka.  Kompleksiti hierarki juga meningkatkan perbezaan kuasa dan sumber antara jabatan yang boleh menyumbang kepada terbentunya konflik
            Teknologi pula lazimnya membahagikan pembahagian tugas antara jabatan dan juga saling bergantung antara bahagian-bahagian tertentu.  Justeru, kumpulan yang mempunyai tugas yang saling bergantung akan selalu berinteraksi dan juga berkongsi sumber.  Keadaan sebegini boleh menimbulkan konflik antara mereka.
            Matlamat organisasi pula lazimnya akan dipermudahkan kepada matlamat operatif yang boleh memandu setiap bahagian dalam organisasi.  Matlamat operatif yang ingin dicapai oleh pelbagai bahagian seperti bahagian pemasaran, perakaunan, undang-undang dan bahagian sumber manusia biasanya bersifat eksklusif.  Justeru, pencapaian matlamat dalam sesebuah jabatan mungkin akan menghalang pencapaian matlamat operatif dalam bahagian lain, dan ini boleh mencetuskan konflik.  Dalam konteks ini, struktur organisasi yang berkesan adalah perlu untuk membolehkan pembahagian tugas dan pembahagian sumber-sumber yang seimbang untuk memudahkan kawalan dan penyelarasan dalam organisasi.


TEORI KELAS
Teori konflik aliran Marx juga beranggapan asas kepada pembentukan sesebuah masyarakat adalah disebabkan oleh faktor-faktor ekonomi seperti tanah, modal, industri dan perdadangan.  .  Asas kepada perubahan sesebuah struktur masyarakat adalah di sebabkan faktor-faktor berkaitan dengan pengeluaran ekonomi.  Faktor lain seperti agama, institusi politik, kekeluargaan dan pendidikan pula menjadi superstruktur masyarakat.  Sebarang perubahan yang berlaku pada superstruktur masyarakat hanya akan berlaku jika terdapat perubahan pada asasnya. 
Marx menjelaskan bahawa ekonomi yang menjadi pendorong kepada perkembangan modal yang akan membawa kepada perubahan hidup masyarakat terutama dalam meningkatkan taraf hidup dan mengeluarkan mereka dari kesempitan hidup.  Namun perkembangan modal yang pesat akan menyebabkan berlakunya penindasan terhadap sesuatu golongan yang mempunyai taraf hidup yang rendah dan yang mengalami perkembangan modal yang tidak konsisten.  Marx telah membahagikan masyarakat kepada dua bahagian utama iaitu golongan borjuis iaitu yang menguasai modal dan golongan proletar iaitu golongan pekerja bawahan yang sering ditindas atau dikuasai oleh golongan borjuis semata-mata untuk menambahkan modal mereka.  Setelah berlakunya penindasan terhadap golongan proletar atau golongan pekerja maka akan timbullah satu perasaan atau kesedaran yang dikenali sebagai “kesedaran kelas” yang lahir dari satu perasaan yang dikenali sebagai “perasaan kelas”.  Hal ini akan menyebabkan berlakunya satu bentuk tentangan yang bersifat penghapusan terhadap golongan berkelas (class society) dan menggantikannya dengan satu golongan baru yang tidak berkelas (classes society). 
Masyarakat tanpa kelas (masyarakat sosialis) wujud atas asas sistem pemerintahan pekerja, oleh pekerja dan untuk pekerja.  Menurut Marx, satu bentuk pengawasan diperlukan untuk mewujudkan kestabilan dalam masyarakat yang mana telah mencapai satu bentuk masyarakat yang baik dan tidak berlaku sebarang penindasan dimana semua pihak mendapat kelebihan dan faedah bersama.
Melalui konsep ini, tidak banyak yang boleh dikaitkan dengan konflik dalam sesebuah organisasi.  Konflik yang berlaku antara  pemilik sesebuah syarikat ataupun pemodal syarikat dengan pekerja-pekerja yang mengorganisasi syarikat tersebut mungkin boleh dikaitkan.  Pemodal yang memberi tekanan kepada setiap bahagian di dalam organisasi syarikatnya akan menimbulkan satu konflik yang besar antara pekerja dengan pemodal tersebut.  Keghairahan untuk meningkatkan lagi kekayaan akan mendorong pemodal atau pemilik syarikat untuk memberi tekanan kepada pekerjanya untuk sentiasa bekerja keras untuk meningkatkan hasil keluaran sesebuah syarikatnya itu.  Pemodal mungkin akan memberi tekanan konflik yang lebih berganda jika terdapat pekerjanya yang cuba membantah atau melawan arahannya dengan membuang mereka daripada bekerja.  Hal ini kerana tenaga kerja mungkin senang diperoleh kerana permintaan pekerjaan semakin tinggi.  Keadaan ini sama sekali akan menimbulkan satu suasana konflik yang besar antara pekerja dengan pemodal jika ianya berterusan berlaku.  Pekerja-pekerja daripada pelbagai tahap hierarki organisasi yang ditindas  itu mungkin akan bergabung dan membentuk satu satuan yang kuat untuk menuntut hak mereka sebagai pekerja dengan mengadakan bantahan besar-besaran terhadap pemodal tersebut.
 Dalam keadaan ini akan berlakulah pembentukan undang-undang baru yang akan melindungi mereka daripada terus ditindas oleh pemodal tersebut.  Keadaan akan mejadi lebih teruk jika golongan pekerja-pekerja tersebut bersatu untuk menjatuhkan pemodal tersebut dengan mengheret pemodal tersebut ke muka pengadilan dan menuntut untuk mewujudkan undang-undang baru dimana pemodal mempunyai kuasa yang sama dengan pekerja.  Seterusnya akan wujudlah masyarakat tanpa kelas dimana pemodal atau pemilik syarikat terpaksa akur dengan sistem yang diwujudkan oleh pekerja-pekerja itu dimana semua pihak akan mendapat kelebihan bersama tanpa penindasan.





KESIMPULAN
Konflik di dalam organisasi adalah satu fenomena sosial yang sememangnya sukar dielakkan.  Ahli-ahli di dalam sesebuah organisasi tidak dapat mengelak daripada bertemu dan berinteraksi sama ada di dalam keadaan formal ataupun tidak formal.  Antara perkara-perkara yang boleh menimbulkan konflik ialah tugas ahli kumpulan dalam organisasi mempunyai kemahiran, nilai, keperluan dan kreativiti yang berbeza-beza di antara seseorang individu dengan individu yang lain.
            Teori yang diperkenalkan oleh Karl Marx berkait rapat dengan konflik yang wujud di dalam sesebuah organisasi.  Melalui konsep dialektik, alienation. Dan konsep kelas kita akan dapat lihat kaitannya dengan konflik-konflik yang seringkali timbul di dalam sesebuah organisasi itu.  Justeru, konflik tidak seharusnya dilihat dari sudut negatif tetapi juga harus dilihat dari sudut positif kerana konflik antara kumpulan atau individu dalam sesebuah organisasi boleh mendatangkan banyak manfaat kepada organisasi jika konflik ini dikendalikan secara bijak.
            Organisasi yang ada pada era globalisasi kini semakin terdedah kepada konflik berdasarkan keadaan pasaran yang semakin kompetitif.  Apatah lagi dengan perkembangan pesat syarikat-syarikat multinasional di kebanyakkan negara yang menyebabkan wujudnya perbezaan budaya, latar belakang, bahasa, personality, nilai dan tanggapan yang semakin kompleks.  Semua elemen tersebut berpotensi untuk menyumbang kepada konfik di dalam organisasi.

No comments:

Post a Comment