Monday 31 December 2012


WATAK TERTAWAN

Masalah tertawan adalah disebabkan oleh tersebarnya pengaruh budaya Barat dan juga peranan budaya Barat sebagai kuasa imperialis yang terbesar di dalam sejarah dunia.  Sebelum imperialisme Barat tersebar di dalam beberapa abad, belum pernah terjadi dalam sejarah dunia imperialisme yang demikian berlaku di dalam berbagai-bagai bidang.  Gejala watak tertawan pula merupakan gejala baru yang terjadi akibat dari kuasa imperialisme tersebut.  Masyarakat Melayu misalnya tidak terlepas daripada fenomena ini akibat dari perluasan kuasa imperialis Barat yang banyak mempengaruhi pemikiran mereka.
            Watak tertawan mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri yang muncul akibat dari pengaruh Barat.  Ciri yang pertama ialah watak tertawan sifatnya adalah peniru dan bukan peniruan biasa, tetapi peniruan yang khusus.  Terdapat dua jenis peniruan, iaitu pertama ialah peniruan yang rasional.  Peniruan yang rasional ialah kita memilih unsur budaya luar dengan cara yang rasional iaitu tidak berdasarkan peniruan semata-mata. Peniruan yang kedua ialah peniruan yang tidak rasional  dan tidak mengikut pertimbangan tertentu iaitu meniru sewenang-wenangnya tanpa mempertimbangkan secara kritis sama ada perlu atau tidak. Watak tertawan mempunyai ciri peniru yang tidak rasional tidak mempertimbangkan peniruan tersebut iaitu meniru bulat-bulat.  Keadaan ini mungkin disebabkan mereka terlalu memandang tinggi terhadap budaya Barat dan memandang rendah terhadap budaya sendiri sehingga penerimaan Budaya barat itu ditiru bulat-bulat oleh mereka.
Ciri yang kedua berkenaan watak tertawan ialah mereka tidak mampu untuk menimbulkan persoalan baru di dalam lingkungan hidupnya.  Mereka hanya mampu meneruskan persoalan yang di timbulkan oleh pihak Barat walaupun persoalan tersebut telah ditimbulkan di Barat pada 50 hingga 80 tahun yang lepas.  Mereka hanya meneruskan persoalan yang ditimbulkan oleh Barat kerana mereka tidak berupaya memikirkan persoalan yang ada di sekeliling mereka dan menunggu Barat menimbulkan persoalan yang baru untuk dibincangkan contohnya tentang masalah alam sekitar, kemiskinan, dan rasuah.  Masalah-masalah ini sudah lama di bincangkan di Barat namun masih diteruskan oleh watak tertawan.  Keadaan seperni ini sama sekali menjejaskan pemikiran Melayu kerana ciri seperti sama sekali membunuh benih-benih golongan intelektual untuk tumbuh dari kalangan mereka.  Kelemahan untuk menimbulkan persoalan baru dalam lingkungan kehidupan masyarakat mereka juga akan turut menyebabkan masyarakat tiada pimpinan dalam pemikiran yang benar.
Ciri watak tertawan seterusnya ialah mereka mendapatkan pendidikan langsung dari institusi Barat dan menggunakan semua bahan bacaan dan rujukan dari Barat.  Gejala ini hanya terdapat di luar barat misalnya di Malaysia, bahan pendidikan dominan dalam bahasa Inggeris dan pelajar-pelajar menggunakan bahan tersebut tanpa perlu di tukarkan ke dalam Bahasa Melayu.  Pada masa dahulu sekolah-sekolah kita menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.  Pelajar-pelajar yang melanjutkan pelajaran ke luar negara juga bergantung pada bahan, institusi, dan guru dari luar negara.  Begitu juga perpustakaan yang kita miliki iaitu bahannya semua terdiri dalam bahasa Inggeris.  Jadi tidak heranlah jika ramai watak tertawan yang berada di negara kita terdiri dari mereka yang bijak pandai yang memenuhi pelbagai sektor.
Watak tertawan juga tidak pernah membantah apa-apa yang disajikan kepada mereka yang di dapati dari sumber luar itu tadi.  Semasa zaman penjajahan, penjajah Barat menyatakan bahawa masyarakat Melayu adalah pemalas dan pelbagai lagi gambaran buruk.  Namun peribumi Melayu hanya mengangguk dan bersetuju dengan apa yang telah dinyatakan oleh Barat keatas mereka.  Mereka menerima segala apa yang disajikan kepada mereka seperti budaya pemakaian dan lain-lain tanpa membantah apa-apa.  Mereka seolah-olah berasa malu dan rendah diri terhadap budaya mereka sendiri untuk mereka pamerkan dan banggakan.  Mereka terlalu mengangkat budaya Barat sehinggakan apa yang Barat sajikan, mereka harus terima dan tidak perlu membantah apa-apa seolah-olah yang disajikan kepada mereka adalah terbaik dan tidak terdapat sebarang cacat-cela.
Ciri terakhir watak tertawan yang sangat menonjol ialah mereka tidak menyedari bahawa keadaan mereka telah tertawan dan ini merupakan masalah besar terhadap mereka.  Jika dilihat dengan lebih mendalam, banyak kesan watak tertawan yang sudah mempengaruhi keadaan hidup kita di Malaysia.  Salah satunya ialah pengaruh terhadap penggubalan undang-undang dan perancangan yang diterima dari luar yang diterima bulat-bulat ditapis dengan lebih teliti.  Namun watak tertawan tetap juga tidak memperakui bahawa dirinya telah tertawan dan mereka juga tetap terus melakukan ciri-ciri watak tertawan itu tadi.  Keadaan seperni adalah satu masalah yang sangat besar.  Mereka yang tertawan seolah-olah menganggap diri mereka adalah benar dan mereka sama sekali tidak menerima jika dikatakan mereka telah tertawan.  Keadaan bertambah buruk bila watak tertawan seperti ini mempunyai tanggungjawab sebagai pemimpin dan membangunkan negara.
Namun begitu, persoalan watak tertawan ini tidak ada hubungannya dengan politik dan sikap terhadap Barat.  Dunia sangat menghargai sumbangan budaya Barat dalam sejarah manusia, namun masalah watak tertawan ini bukanlah seperti sikap kita terhadap Barat.  Masalah yang menjadi asas didalam watak tertawan ini ialah masalah keperibadian yang terikut-ikut secara tidak disedari dan menjadi alat pemikiran dari luar yang tidak sanggup bercanggah ilmiah dengan aliran dan pihak Barat.  

No comments:

Post a Comment